“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan, dan perbaikilah (segala amalan kamu). Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang yang membuat kebaikan.”
[Surah al-Baqarah, ayat 195]

Thursday, 28 June 2012

KISAH BENAR: PERKONGSIAN PENGALAMAN PERKAHWINAN SEORANG ISTERI KEPADA PLHIV




Assalamualaikum...

Terlebih dahulu, saya memanjatkan kesyukuran kerana hari ini saya diberi keberanian untuk menghantar email kepada AHP. Saya pernah menaip email untuk dihantar, tapi pada masa tersebut, saya merasakan belum masanya saya untuk berkongsi dengan sesiapa.

Alhamdulillah, kini setelah mempunyai kelapangan masa dan keberanian, setelah saya membaca pengalaman Cik Aisyah dan juga ZS, saya terimbas kembali pengalaman saya semasa saya sendiri ingin berkahwin dengan suami (PLHIV). Saya berada di dalam bidang professional. Begitu juga suami. Kami berumur awal 30-an. Saya kenalkan diri saya sebagai WF.


Mungkin kisah hidup saya ni mampu memberikan iktibar atau sedikit semangat kepada mereka yang lain.

May 2011. Suami saya (pada masa itu adalah tunang saya) menelefon saya sewaktu saya sedang sibuk mencari kelengkapan perkahwinan. Pada masa tu saya sedang mencari veil pernikahan. Suara dia sangat lemah. Sedih. Saya fikirkan dia sakit. Dia bertanya, boleh bercakap ke? Mesti la saya jawab boleh. Ayat seterusnya yang keluar daripada mulut beliau adalah, 'kalau kita putus sebulan dua boleh?'

Saya terdiam dan macam tak percaya. Saya salah dengar ke? Seterusnya, saya dengar tangisan beliau. Tangisan yang belum pernah saya dengar sebelum ini. Saya sendiri terkejut. Bila saya tanya, kenapa? Dia hanya jawab, 'abg HIV positif'.

Perasaan saya??? Hanya Tuhan yang tahu. Ikutkan rasa, saya mungkin terjelepuk di kedai. Tapi, akal masih berada di tahap sepatutnya. Syukur, saya hanya melarikan diri di celah-celah kain. Bersandar seketika. Menarik nafas. Suami pada masa itu tak henti menangis. 'Kita bincang bila saya sampai rumah'.

Sepanjang perjalanan pulang, saya tidak nafikan, macam-macam saya fikirkan. Mungkin kerana saya adalah seorang yang memang sentiasa positif. Saya cukup tenang menghadapi semua ini. Tipu kalau saya katakana saya tidak sedih. Saya sedih, tapi suami saya pada masa itu memerlukan sokongan saya. Kalau saya sendiri menangis, sedih, meratap, apa yang akan terjadi kepada dia??

Alhamdulillah, di rumah, saya berbincang dengan beliau. Macam-macam soalan yang keluar daripada mulut saya. Tapi, tidak guna menyesali benda yang sudah berlaku. Walaupun saya tahu, dia sendiri dalam keadaan keliru dan beliau berulang kali mengulangi, nanti KESIAN kat saya. Dia akan rasa BERDOSA sebab tak mampu menjadi suami yang mampu memberi zuriat pada rumah tangga kami.

Soal zuriat adalah antara topik yang membuat beliau sangat sedih. Tidak dinafikan, antara tujuan perkahwinan adalah untuk menambahkan keturunan. Setelah saya sendiri melakukan kajian, membaca yang berkaitan dengan HIV dan sebagainya, saya yakin, saya mampu menghadapi semua ini. Saya nekad untuk meneruskan perkahwinan.

Suami pada mulanya agak tidak bersetuju atas alasan dia takkan mampu memberi apa yang suami lain mampu beri. Tuhan tu Maha Adil lagi Maha Mengetahui. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Syukur, suami akhirnya bersetuju.

Tiba bab-bab menguruskan borang pernikahan, suami menguruskan di sebelah Selangor, saya sendiri di pantai timur. Seperti yang ZS dan Cik Aisyah lalui, saya juga melalui perkara yang sama. Sementelah di sebelah pantai timur (bergantung pada kawasan/daerah) lain caranya.

Di Selangor, Borang Perakuan HIV suami telah dibulatkan REAKTIF. Mungkin ini adalah borang lama. Suami menghantar sendiri borang ke pejabat agama dan berjumpa pegawai agama di sana demi mendapatkan khidmat nasihat.

Mungkin ada yang beranggapan TIDAK PERLU kerana ianya seperti membuka pekung di dada. Kami telah bincangkan semua ini sebab suami ingin mendapatkan kepastian berkaitan hukum. Alhamdulillah, ustaz berkata, 'seandainya si perempuan redha dan rela serta ikhlas menerima anda sebagai suami, yakni tidak ada sedikit paksaan pun, anda  tidak dianggap menganiaya pasangan anda.'

Ustaz juga memberi pujian kerana suami saya ketika itu sangat tenang menghadapi kenyataan yang beliau adalah PLHIV. Suami berkata, 'ustaz, semua ni berkat sokongan tunang saya. Kalau dia tak ada, saya mungkin tidak setabah ini.' Menitik air mata tatkala mendengar ayat tersebut. Bangga? Tidak sesekali saya bangga kerana saya tahu dia sangat memerlukan sokongan saya.

Ustaz berkenaan sendiri menawarkan untuk suami menjadi penceramah motivasi berkenaan PLHIV kerana dia melihat ketabahan dan kekuatan suami dalam menghadapi situasi ini. Ustaz cakap, kebanyakan pasangan selalunya akan menangis beria-ia, ataupun mengadu kesedihan sebab pasangan minta putus. Suami hanya terdiam, sebab beliau sendiri pernah terfikir sebegitu. Tetapi, suami hanya mampu gelak dan dia sendiri belum bersedia untuk berkongsi.

Di pihak saya pula, macam nak luruh jantung sewaktu menghantar borang. Suami ikut serta pulang ke kampung saya kerana kami tidak mahu ayahanda saya turut serta.

Tetapi malangnya, borang saya perlu diambil tandatangan tok imam kawasan lain sebab imam di kampung saya tidak ada. Ayah turut serta ke rumah imam tersebut. Suami saya sudah risau. Bimbang akan terbongkar. Dalam hati tak henti-henti berdoa. Ketika imam menyelak borang suami, mata saya tak beralih langsung. Terpaku menatap setiap yang berlaku. Alhamdulilah, Tuhan permudahkan. Suami di luar muka pucat. Saya keluar saja, saya hadiahkan senyuman. Saya dapat lihat helaan nafas kelegaan yang dia lepaskan. =)

Di pejabat agama, sekali lagi kami berdebar. Perlu melalui 3 orang sebelum dia keluarkan surat. Akhirnya, surat kebenaran berkahwin hanya dapat disiapkan seminggu kemudian. Pada masa ini, Tuhan saja tahu perasaan saya dan suami kerana pejabat agama akan serahkan terus pada tok imam yang menikahkan. 2 minggu berlalu tanpa ada panggilan dari pejabat agama. Lega, itulah yang mampu kami ucapkan.

Alhamdulillah, sekarang ini kami sudah selamat diijabkabulkan. Benar, bukan senang untuk menyesuaikan diri. Berkahwin beberapa bulan sahaja, soalan tentang anak sudah kedengaran. Walaupun peluang untuk menimang cahaya mata ada, tetapi  banyak perkara nak difikirkan. Kami percaya, ada la rezeki kami nanti.

Terus terang saya cakap, di pihak saya sendiri tidak ada masalah. Cuma, suami masih takut-takut dan risau risiko yang saya akan hadapi. Dia tak sanggup melihat saya menderita walaupun kadang-kadang saya sendiri tegaskan itu adalah pilihan saya, bukan paksaan. Tetapi, hati dia hanya dia dan Allah yang tahu. Mungkin dia terlalu sayangkan saya atau dia tak mahu saya berjangkit.

Sekarang suami menerima rawatan susulan di hospital 'P'. Alhamdulillah, tahap virus suami adalah tahap rendah. Dia perlu berjumpa doktor untuk melihat progress 6 bulan sekali. Belum mengambil apa-apa ubat. Hanya kaunseling sahaja. Bagi saya, apa yang penting di sini adalah pasangan NON-PLHIV perlu kuat, dan tidak cepat terngadah.

Mungkin kekuatan saya adalah saya seorang yang positif, dan berfikir secara rasional. Ini adalah dugaan dan ujian yang Tuhan berikan kepada kami untuk melihat sekuat mana kami mampu menghadapi. Tuhan tidak akan memberi ujian dan dugaan  melainkan kepada hamba Nya yang mampu. Setiap apa yang berlaku di dalam hidup kita, akan ada hikmah nya. Mungkin bukan hari ini kita melihat hikmahnya. Itu yang sentiasa saya pegang dalam hidup.

Harapan saya kepada yang lain2 (NON-PLHIV), sekiranya anda betul-betul ikhlas  menerima pasangan anda kerana Allah, insya-Allah, Tuhan akan permudahkan urusan anda. Setiap penyakit yang Tuhan bagi pada kita, anggaplah sebagai penebus dosa dan kesilapan kita.

Wallahu’allam..

........... WF.............

Prostar SMKDPB : Tahniah kepada Puan WF suami isteri kerana mereka sangat berdikari dan mampu menghadapi segala ujian dengan tabah. Semoga kebahagiaan mereka kekal membawa ke syurga.

Kepada mana-mana pasangan yang berhasrat berkahwin dengan PLHIV, anda punya cara untuk mendapatkan zuriat bebas HIV. Tidak boleh terlalu yakin tanpa ilmu atau paranoid melulu. Kita perlu berkongsi masalah. Tiada apa yang perlu dirisaukan tentang risiko jangkitan selagi anda mengambil langkah pencegahan dan mendapatkan rawatan secara tepat. Semuanya telah aku kongsikan di blog ini mengikut kategori. Wallahu a’lam!

No comments: